Cara Menjadi Ejen Hartanah

Cara Menjadi Ejen Hartanah

Kalau korang tengah pertimbangkan untuk ceburi kerjaya ejen hartanah, eloklah baca artikel ni. Artikel ni adalah panduan komprehensif tentang semua aspek dan cara menjadi ejen hartanah. InsyaAllah di akhir artikel ni korang akan dapat gambaran yang jelas untuk buat keputusan. Ingat ye, kaji dulu baru buat keputusan.

Ejen Hartanah Vs Perunding Hartanah?

Sebenarnya terma ejen hartanah ni ada maksud tersendiri.

Ejen Hartanah

Ejen hartanah ni adalah mereka yang ada kelulusan dalam bidang hartanah. Boleh jadi sijil, diploma atau graduan. Mereka kemudian buat buat praktikal 2 tahun dan ditemuduga oleh Lembaga Penilai Pentaksir Dan Ejen Hartanah. Bila lulus tu mereka dapat lesen dan boleh buka agensi hartanah.

Perunding Hartanah

Perunding hartanah ni pula dilantik oleh ejen hartanah untuk menjalankan transaksi jual beli hartanah. Boleh kata macam pembantu ejen la. Bila perunding hartanah jual rumah, komisyen akan dibahagi antara mereka dan agensi.

Orang ramai biasanya tak tahu tentang beza dua ni. Bagi mereka, perunding hartanah sama dengan ejen hartanah. Sebenarnya ada beza.

Artikel ni ditujukan untuk orang awam. Ambe guna bahasa yang biasa digunakan. Jadi bila ambe guna perkataan ejen hartanah tu, ambe maksudkan perunding hartanah sebenarnya.

Macam Mana Buat Duit Dengan Kerjaya Ejen Hartanah?

Kalau nak jadi ejen hartanah ni lah antara soalan yang bermain di fikiran.

1) Melalui Komisyen Jualan / Sewaan

Pendapatan utama kerjaya ejen hartanah ni melalui komisyen jualan. Contoh kata anda berjaya jual satu unit rumah berharga RM500,000.

Komisyen yang diterima pula ialah 3% (ini komisyen standard pasaran di Malaysia) iaitu RM15,000. Daripada RM15,000 ini anda akan berkongsi dengan agensi.

Nisbah perkongsian ini bergantung kepada senioriti. Katakan anda layak terima 70% daripada jumlah komisyen tersebut, pendapatan anda ialah RM10,500.

Sekarang ni, bayangkan anda jual 3 unit rumah berharga RM500,000. Pendapatan anda untuk bulan tersebut ialah RM31,500.

Fuh, lagi tinggi daripada gaji Perdana Menteri tu. Dan 3 unit ni bukan mustahil pun. Tuan puan boleh buat. Ini bukan janji MLM. Bahkan ejen yang berjaya, jual 7-10 unit sebulan.

2) Melalui Referral Fee Peguam

Referral fee peguam ni boleh dikatakan sebagai side-income. Tuan puan refer pembeli kepada peguam yang tuan puan kenal dan mereka akan beri saguhati. Bukanlah setinggi komisyen jualan, tapi boleh la buat lepas duit minyak tu untuk satu kes. Kalau banyak kes bayar pinjaman perumahan pun lepas. Huhu.

Skop Kerja Perunding Hartanah

Kerja perunding hartanah ni ada dua jenis pelanggan: pemilik hartanah dan pembeli hartanah.

Skop kerja dengan pemilik hartanah adalah seperti berikut:

  • Bina jaringan dengan pemilik hartanah untuk dapatkan senarai untuk dijual.
  • Membuat inspection hartanah.
  • Memberi khidmat nasihat kepada pemilik hartanah.
  • Memasarkan hartanah untuk dapatkan pembeli.
  • Memastikan hak pemilik hartanah terjaga.

Skop kerja dengan pembeli hartanah:

  • Bina hubungan baik dengan bakal pembeli.
  • Membuat semakan awal kelayakan pembeli untuk belian hartanah.
  • Bawa bakal pembeli ke unit jualan untuk viewing.
  • Menjalankan rundingan.
  • Menjadi pemudah cara untuk pembeli dapatkan khidmat guaman dan pinjaman.
  • Memastikan hak pembeli hartanah terjaga.

Kelebihan Menjadi Ejen Hartanah

1) Beri Impak Besar

Kerja ejen hartanah ni ada impak yang besar. Keputusan untuk jual atau beli rumah oleh klien tuan puan ni bukan kecil. Tu adalah antara keputusan besar hidup mereka. Menjadi pemudah cara untuk keputusan ni adalah tugas yang murni.

2) Kawal Masa Depan

Dengan menjadi ejen hartanah ni, masa depan tuan puan terletak di tangan tuan puan sendiri. Bukan lagi majikan, bukan lagi boss. Tuan puan 100% bertanggungjawab. Kalau berusaha, berjaya. Kalau malas, gagal.

Ni berbeza kalau ada majikan. Kalau rajin pun, belum tentu terjamin masa depan.

3) Pendapatan Lumayan

Pendapatan ejen hartanah ni lumayan. The sky is the limit orang kata. Kalau fokus betul-betul pak menteri pun boleh cemburu dengan pendapatan tuan puan.

Dalam artikel ni ambe ada sediakan satu bahagian tentang cara nak kira komisyen jualan. Boleh rujuk kat situ.

4) Masa Fleksibel

Masa tuan puan lebih fleksibel dengan kerjaya ejen hartanah ni. Tak terikat dengan waktu berkerja. InsyaAllah akan ada lebih waktu untuk keluarga dan anak.

Tapi walaupun fleksibel, tuan puan kena urus masa ni dengan baik. Kalau tak urus tiada jualan la nanti. Kiki.

5) Modal Minima

Tuan puan boleh rujuk bahagian ‘Modal Permulaan’ untuk ketahui lebih lanjut. Berbanding dengan bisnes lain, kos nak mula bisnes dengan menjadi ejen hartanah ni adalah rendah.

6) Masa Depan Cerah

Hartanah ni akan sentiasa ada permintaan. Dekat Malaysia ni, terutama di Klang valley supply rumah tak banyak. Nampak macam banyak, tapi yang mampu dimiliki tu tak banyak.

Bila permintaan banyak kerjaya ejen hartanah ni pun akan berkembang dengan sendiri.

Selain tu, tuan puan juga boleh pilih untuk ambil lesen penuh. Mungkin satu hari nanti tuan puan boleh miliki agensi hartanah sendiri.

Cabaran Menjadi Ejen Hartanah

1) Rejection

Bukan semuanya indah. Dalam kerjaya ejen hartanah ni tuan puan kena kuat. Akan ada banyak rejection daripada klien dan juga pemilik. Rejection ni pula boleh jadi dalam macam-macam cara:

  • Klien view rumah tak jadi beli
  • Klien window shopping
  • Klien sailang ejen
  • Klien book rumah, tapi pinjaman tak lulus
  • Klien book rumah, tapi pemilik naikkan harga
  • Klien book rumah, pemilik tak jadi jual

Bila terjadi rejection macam ni pasti akan ganggu momentum untuk perunding hartanah baru. Tapi tuan puan kena positif. Mesti kata ‘Next!’ dan teruskan usaha.

2) Ada Naik Turun

Macam apa jua bisnes, kerjaya ejen hartanah ni ada naik turunnya. Ada bulan jualan tuan puan adalah sangat baik, mungkin jual 6 unit. Ada bulan yang biasa, jual 3 unit sahaja. Ada bulan mungkin tiada jualan langsung.

Bila baru bermula lagi la. Tiada jualan tu merupakan satu bebanan yang besar. Ambe pun pernah lalu situasi yang sama.

Yang penting dalam kerjaya ni puan kena perisaikan diri tuan puan dari kata-kata monolog negatif terhadap diri sendiri. Mesti teruskan berusaha walaupun tiada jualan. Banyakkan bersabar.

Kalau berusaha pasti akan buat jualan.

3) Sukar Nak Dapatkan Senarai Rumah Untuk Dijual

Ni keluhan yang ambe selalu terima daripada ejen hartanah baru. Jujurnya, senarai rumah (listing) ni senang je nak dapat. Tak susah. Tapi nak dapat listing yang berkualiti, yang boleh jual tu sedikit sukar untuk ejen hartanah baru.

Ada cara sebenarnya nak dapatkan listing berkualiti ni. Tapi ambe tak kongsi di sini sebab dah masuk topik yang agak advance. Kalau tuan puan masih ada keraguan, boleh hubungi ambe.

4) Pengetahuan Dan Pengalaman

Bila mula menjadi ejen hartanah, tuan puan kena cepat-cepat melengkapkan diri tuan puan dengan ilmu. Kalau tak proses adaptasi ke dalam bidang ni akan jadi sukar. Nak jual rumah pertama tuan puan akan jadi susah.

Tuan puan mesti tahu ins & out jual beli rumah. Dari segi prosedur dan perangkap yang ada.

Selain tu, kena juga mahir dalam ilmu pemasaran. Macam mana dan di mana nak pasarkan rumah. Apa medium yang efektif untuk jenis rumah.

Ada juga ilmu yang tuan puan belajar dari pengalaman. Contohnya tentang lokasi dan nilai pasaran rumah sesuatu kawasan.

Pengetahuan ni sukar nak dapat daripada pembacaan. Tapi bila tuan fokus dalam bidang ni, ilmu ni tuan puan akan pick-up dengan cepat.

Syarat Dan Kelayakan

Nak jadi perunding hartanah tiada syarat minimum. Kemahiran yang mesti ada ialah kemahiran IT. Tuan puan juga mesti ada kenderaan sendiri. Dari segi kelayakan, lepasan SPM pun dah layak.

Walaupun begitu tak bermakna apa yang anda belajar atau pengalaman anda sebelum ni tak relevan.

Contohnya jika tuan puan bekas peguam, tuan puan ada kelebihan untuk memahami kontrak perjanjian. Ini satu advantage semasa proses rundingan.

Jurutera boleh menerapkan work ethic nya dalam kerjaya ejen hartanah ni. Bekas jurubank pastinya sudah mahir dengan selok belok hartanah. Ejen insuran pula sudah ada client-base untuk dia pasarkan hartanah.

Apa yang ambe nak tekankan kerjaya ejen hartanah ni kerjaya yang universal. Tak kira latar belakang atau pengalaman, tuan puan boleh berjaya dalam bidang ni. InsyaAllah.

Cara Menjadi Ejen Hartanah

1) Hadir Kursus Perunding Hartanah

Kerjaya ejen hartanah ni ada badan pemantau. Badan pemantau tu ialah Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah. Semua perunding dan ejen hartanah kena berdaftar dengan LPPEH.

Sebelum memulakan kerjaya, tuan puan mesti daftar dan hadir ke kursus 2 hari perunding hartanah. Nak daftar kursus boleh hubungi Good Institute.

Kursus ni wajib. Antara topik yang tuan puan akan belajar ialah:

  • Pengenalan kepada pasaran hartanah
  • Asas industri hartanah
  • Piawaian Agensi Hartanah Malaysia
  • Praktis agensi hartanah
  • Kemahiran membuat rundingan
  • Asas guaman hartanah
  • Undang-undang berkaitan hartanah
  • Kemahiran IT dalam hartanah

Setelah hadir ke kursus ni, tuan puan akan terima sijil. Salinan sijil ni akan diberi kepada agensi. agensi kemudian akan daftarkan tuan puan ke LPPEH.

2) Daftar Dengan Agensi

Setelah tuan puan hadir ke kursus perunding hartanah tu, tuan puan boleh lah daftar dengan agensi hartanah. Tapi boleh je nak daftar dengan agensi dulu. Kemudian baru pergi kursus.

agensi hartanah ni ada banyak. Yang patut tuan puan sertai ialah agensi yang dapat bagi value added kepada tuan puan. Dari segi sokongan, gerak kerja, career development.

Dalam bahagian seterusnya ambe beri sedikit tips macam mana nak pilih agensi yang baik.

Tips Pilih Agensi Hartanah

Kalau tuan puan ingin jadi ejen hartanah, ambe sarankan pilih agensi yang baik. Macam mana nak pilih agensi yang baik ni? Anda kena banyak bertanya. Tanya kenalan ejen hartanah, tanya agensi semasa interview. Ni sedikit tips macam mana nak tahu agensi tu ok atau tak.

  • Latihan: Ada latihan ke diberikan untuk perunding hartanah? Berapa kali sebulan latihan diberikan? Agensi yang baik akan selalu beri latihan kepada perunding hartanah mereka.
  • Bilangan perunding hartanah: Berapa ramai ejen di bawah sesebuah agensi? Semakin ramai perunding hartanah semakin baik. Senang nak kerjasama dan dapatkan listing daripada rakan sejawatan. Bilangan ejen yang ramai juga petanda agensi tersebut lebih berstruktur.
  • Team leader: Tuan puan juga perlu tanya, jika sertai, ada tak team leader yang kawal selia. Seeloknya ada. Team leader ni la yang akan beri panduan kepada tuan puan. Dia akan jadi mentor dan coach.
  • Kerja berpasukan: Ambe sarankan tuan puan sertai agensi yang buat kerja berpasukan. Ni susah sikit nak tahu. Tuan puan kena buat kaji selidik. Mungkin tanya kenalan. Atau mungkin boleh kaji di media sosial. Kalau nampak selalu ada aktiviti bersama tu petanda agensi yang baik.
  • Semak lesen agensi: Tuan puan boleh semak lesen agensi di laman web LPPEH. Elok buat, tak mahu nanti bila dah join tengok-tengok syarikat broker haram.

1) Modal

Untuk menjadi ejen hartanah ni kena ada modal juga. Untuk permulaan kos yang diperlukan adalah untuk hadir ke kursus perunding hartanah. Kursus ni harganya lebih kurang RM600.

Kemudian tuan puan akan daftar dengan agensi. Biasanya fi yang dikenakan dalam lingkungan RM500 bergantung kepada agensi.

Fi ni adalah untuk latihan permulaan dan juga kelengkapan seperti business card, banner, t-shirt, baju korporat dan lain-lain.

Tuan puan juga kena ada bajet untuk pemasaran. Untuk memasarkan hartanah ni ada kos. Mudah.my contohnya mengenakan caj RM3 untuk setiap listing yang disenarai.

Mungkin untuk permulaan RM500 memadai untuk bajet pemasaran tuan puan.

Pada masa yang sama, tuan puan kena ada bajet sara hidup. Bajet sara hidup ni diperlukan untuk untuk 2-3 bulan pertama setelah tuan puan mulakan kerjaya.

Tuan puan mungkin perlukan masa untuk belajar buat jualan pada bulan pertama.

Jika tuan puan berjaya menjual pada awal bulan kedua, tempoh sebulan lagi diperlukan untuk kes jualan tuan puan tu lengkap. Akhir bulan kedua, tuan puan akan terima komisyen.

Jadi pada pendapat ambe, sediakan bajet secukupnya untuk tuan puan tempuhi tempoh ni.

Secara keseluruhan, ambe rasa bajet sekitar RM6,000 adalah selamat. Mahal? Mana ada. Cuba bandingkan kalau buka kedai makan. Huhu.

2) Kelengkapan

Kelengkapan minimum yang tuan puan mesti ada ialah:

  • Komputer atau laptop
  • Telefon bimbit
  • Kad bisnes
  • Banner
  • Pita ukur

Ni kelengkapan paling asas. Kad bisnes dan banner tu agency akan sediakan dan termasuk dalam kos RM500 semasa mendaftar. Jika tak cukup, kena ambil kira dalam bajet permulaan.

Boleh ke buat separuh masa?

1) Susah Nak Fokus

Masa ambe baru mula dulu, ambe sendiri buat separuh masa. Tapi tak lama, dalam 3 bulan je lepas tu ambe letak jawatan.

Menjadi ejen hartanah separuh masa ni susah nak fokus. Kerja ambe sebagai akauntan di Petronas dulu memang sibuk. Telefon pula selalu berbunyi. Klien nak tengok rumah. Pemilik nak jual. Ambe pula dalam meeting.

Akhirnya, dua-dua kerja cukup makan je. Tak dapat yang terbaik. Diri sendiri pun rasa bersalah kerana buat kerja lain semasa waktu kerja.

2) Sukar Nak Dapat Kepercayaan

Bukan tu je. Bila jumpa pemilik atau klien mereka selalu tanya buat separuh masa ke full-time. Bila kata buat separuh masa tu, pembeli atau pemilik susah nak beri kepercayaan.

Tuan puan sendiri pun contohnya. Kalau ahli keluarga (nauzubillah) ada sakit kronik. Tuan puan hantar jumpa doktor separuh masa ke doktor pakar (Plot twist: Doktor tu buat kerja separuh masa ejen hartanah)? Mestilah tuan puan beri lebih kepercayaan kepada yang pakar dan full-time.

3) Fleksibel Bukan Banyak Masa

Walaupun kerjaya ni fleksibel, tapi tak bermakna masa tu cukup. Hari Sabtu dan Ahad tuan puan akan penuh dengan aktiviti viewing dan inspection.

Hari Isnin ke hari Jumaat, tuan puan kena cari leads untuk orang jual atau beli rumah. Masa ni la kena buat pemasaran. Kena jumpa peguam dan jurubank. Kena buat follow-up.

Akhirnya, kerjaya ni akan jadi full-time juga. Dan ambe sendiri sarankan tuan puan buat full-time.

4) Tips

Kalau tuan puan bimbang nak buat full-time kuncinya begini. Tuan puan kena percaya rezeki tu dari Pencipta. Bukan dari majikan.

Ramai yang berjaya dalam bidang ni. Ramai antara mereka pun alami dilema tuan puan sekarang. Tapi mereka fokus dan berani bertindak.

Kerjaya Ejen Hartanah Ni Sesuai Ke Untuk Wanita

1) Wanita Mendominasi Carta Jualan

Di ejensi ambe, ejen hartanah wanita adalah 1/4 daripada jumlah keseluruhan. Jujurnya, kerjaya ejen hartanah ni ramai lelaki.

Tapi yang menariknya wanita ni walaupun sikit, yang buat tu kebanyakannya berjaya. Sahabat ambe Puan Izzah, Puan Ayul dan Puan Dhiya selalu mendominasi carta tertinggi jualan bulanan.

2) Penghalang Utama Ialah Persepsi…

Ambe lihat yang jadi penghalang ialah persepsi wanita tu. Mereka anggap kerjaya ni untuk lelaki. Yang boleh berjaya dalam kerja ni hanya lelaki.

Tak betul sebenarnya. Sebab bila perempuan yang buat kerja ni peluang berjaya lebih tinggi. Ikut pengalaman ambe, wanita lebih fokus berbanding lelaki.

3) Dan Keyakinan Diri

Satu lagi penghalang ialah keyakinan diri. Ramai wanita yang teragak-agak nak buat beri alasan kerjaya ni untuk lelaki. Tapi sebenarnya hanya untuk melindung masalah tidak percaya kepada diri.

Kalau cik puan ada keyakinan, boleh berkomukasi dengan baik, insyaAllah tiada masalah. Kalau tiada keyakinan pun, inilah platform untuk cik puan.

Kerjaya ejen hartanah ni persis menjadi konsultan. Menjadi konsultan adalah cara untuk cik puan cabar diri menjadi lebih baik.

Kerjaya Ni Tak Glemer La!

Cara Menjadi Ejen Hartanah

Salah tu tuan puan. Ambe tanya tuan puan, kerjaya apa yang ada TV Show sendiri? Peguam, doktor, chef, detektif dan…ejen hartanah! Tak percaya boleh tengok TV Show Million Dollar Listing ni. Huhu.

Joke aside, memang benar ada antara tuan puan akan dibelenggu soalan ni. Terutamanya kalau tuan puan ada jawatan tinggi seperti pengurus sekarang.

Tapi tuan puan harus tepuk dada tanya hati. Kalau tuan puan dapat hidup senang dengan kerjaya ni, ada masa fleksibel, apa sangat lah persepsi tu. Dan yang paling penting, kalau tuan puan dapat beri yang terbaik untuk keluarga tuan puan, apa sangat lah persepsi tu.

Jangan fikir persepsi, fikirkan peluang. Dan persepsi tu akan hilang bila tuan puan dah berjaya.

Kenapa Ada Yang Gagal?

Ramai yang berjaya dalam bidang ni. Tapi ada juga yang tak berjaya. Bila ambe buat analisa, faktor utamanya adalah seperti berikut.

  • Buat separuh masa: Ni adalah punca utama. Bila ada kerja tetap sukar nak beri perhatian dengan kerjaya ni. Macam yang ambe kata, kalau anda jadi ejen hartanah, mesti buat sepenuh masa.
  • Tak fokus: Ada yang tak fokus sebab ada bisnes lain. Tak salah ada bisnes lain, tapi kena pandai urus masa.
  • Tak makan nasihat: Ada yang buat sepenuh masa, fokus, tapi gagal juga kerana tak ikut nasihat. Nasihat orang berpengalaman seperti team leader kena ikut. Mereka ni dah makan asam garam dulu.
  • Disiplin dan etika kerja: Kalau tiada etika kerja, memang akan gagal.
  • Tak bersedia: Ada yang buat kerja ni tak bersedia dan melulu. Contohnya, tak bersedia dari segi kewangan dan expect bila jual rumah terus dapat komisyen. Sedangkan jualan hartanah ni ambil masa sebelum dapat komisyen tu.
  • Cepat putus asa: Akan ada saat dalam kerjaya ni, semua yang tuan puan buat serba tak kena. Klien view rumah tapi tak terjual. Pinjaman untuk kes lain yang dah close pula tak lulus. Tuan puan mesti cekal dan redha dalam kes macam ni kalau nak bertahan lama dalam industri ni.

Apa Ilmu Yang Perlu Ada Untuk Jadi Ejen Hartanah Yang Berjaya

Berjaya tu banyak maksud. Untuk permulaan ni tuan puan kena buat sasaran untuk survive dalam kerjaya ni selama setahun. InsyaAllah, bila tuan puan berjaya pada tahun pertama, tahun kedua tu mudah.

Untuk pastikan tuan puan lepasi tahun pertama yang getir ni, ilmu asas yang tuan puan perlu ada ialah:

  • Memahami skop kerja dan apa yang saya panggil sebagai ‘pipeline’ jualan.
  • Mengetahui proses jual beli rumah.
  • Ilmu asas guaman.
  • Penjenamaan diri.
  • Cara mencari listing.
  • Cara buat inspection rumah.
  • Cara berunding dengan pemilik rumah.
  • Medium pengiklanan dan cara nak iklankan rumah.
  • Macam mana nak dapatkan pembeli yang berkualiti.
  • Cara nak buat viewing.
  • Cara nak memudah cara pinjaman pembeli dan perjanjian jual beli rumah.

Agensi dan team leader akan latih tuan puan untuk mahir pengetahuan ni. Di ejensi ambe latihan tentang topik-topik ni dibuat setiap minggu oleh team leader.

Abam Nas harap artikel Cara Menjadi Ejen Hartanah ni sedikit sebanyak dapat menjadi panduan buat korang yang bercadang nak jadi Ejen Hartanah. InsyaAllah kerjaya ni kalau kita buat betul-betul akan menjanjikan pendapatan yang kita impikan. Apa yang penting ialah sentiasa berusaha untuk lebih maju dan jangan sesekali mudah berputus asa. Kita juga jangan sentiasa berada di zon selesa. Pastikan kita sentiasa berada 1 langkah di hadapan. Good luck.

Leave a Comment

CommentLuv badge