Panduan dan Cara Jual Rumah

Panduan dan Cara Jual Rumah

Panduan dan Cara Jual Rumah

Menjual sendiri rumah adalah satu proses yang boleh dikira kritikal kerana jual rumah bukan macam jual produk harian di ‘market place’ seperti facebook, lazada dan lain-lain.

Proses jual beli hartanah ini terpaksa menerusi proses permohonan pembiayaaan perumahan, proses tukar hakmilik dan kebenaran pejabat tanah (consent) jika perlu.

Nak jual rumah ni ada cara dan langkah-langkah yang perlu dilalui. Tak boleh main redah je. Tak boleh expect terus dapat keuntungan. Meh Abam Nas nak share panduan dan cara jual rumah yang ditulis oleh Tuan Arif Hussin dari Weise Property.

Cara Nak Menetapkan Harga Rumah

Rumah yang anda nak jual bersaing dengan ratusan rumah lain. Bila menetapkan harga rumah tuan puan kena buang emosi. Pemilik rumah ni kebanyakannya ada emotional value dengan rumah. Nak lagi jika rumah tu telah lama diduduki dan diubahsuai.

Oleh sebab itu pemilik menetapkan harga yang terlalu tinggi. Kesannya rumah lambat terjual. Atau boleh jadi juga anda letak harga terlalu rendah. Ini menyebabkan kerugian yang besar untuk anda.

Kunci nak jual rumah cepat ni dengan menetapkan harga yang relevan dengan permintaan pasaran. Caranya dengan mendapatkan data yang factual dengan langkah berikut.

 

1) Semak Market Value

Anda mesti semak nilai pasaran sebelum tetapkan harga rumah. Harga yang ikut nilai pasaran akan memudahkan pembeli. Mereka akan lebih senang mendapatkan pinjaman.

Kebanyakan pakej pinjaman hanya beri margin 90%. Jika rumah berharga RM100,000 misalnya, amaun pinjaman ialah RM90,000. Dan RM10,000 tu ialah deposit yang pembeli bayar secara tunai.

Bayangkan jika tuan puan tak semak market value dan tetapkan harga RM150,000. Tentulah membebankan pembeli. Pembeli terpaksa keluarkan tunai sebanyak RM60,000.

Itu pun belum lagi campur dengan kos guaman dan stamping. Kos guaman dan stamping pula dalam 5% daripada harga rumah. Besar kemungkinan pembeli tidak akan berminat nak buat belian.

Nak semak market value rumah ni boleh guna cara berikut:

  • Gunakan khidmat Semak Market Value Rumah yang Abam Nas sediakan ni.
  • Semak dengan penilai melalui jurubank.
  • Semak dengan ejen hartanah.

Semakan dengan jurubank/penilai ni mungkin susah sedikit. Klien utama mereka adalah ejen hartanah atau pembeli rumah, bukan pemilik. Jadi mungkin kebanyakan mereka sedikit reluctant.

Untuk semak nilai pasaran ni anda kena beri butiran berikut:

  • Jenis rumah
  • Alamat lengkap
  • Saiz lot dan binaan rumah
  • Kedudukan lot (intermediate, corner atau end lot)
  • Bilangan bilik
  • Butiran ubahsuai, jika ada.

Sedikit tentang ubahsuai. Jika ubahsuai melibatkan ubahsuai struktur, mesti ada kebenaran daripada pihak berkuasa. Ubahsuai struktur tu biasanya jika anda buat extension rumah. Kalau tidak dapat kebenaran, pengubahsuaian struktur tak akan dikira dalam market value.

Semakan nilai pasaran yang anda buat ni adalah percuma dan secara verbal confirmation sahaja. Penilai tidak akan keluarkan valuation report. Jika perlukan valuation report anda kena buat lantikan penilai. Ada kos untuk kerja ni.

 

2) Buat Kajian Tentang Pesaing dan Permintaan

Setelah anda semak market value eloklah anda semak pula tawaran di pasaran.

Market value yang anda dapat dengan penilai tu adalah indikatif pasaran. Penilai beri nilai tersebut mengikut kepakaran dan professional judgment mereka.

Tetapi harga yang pemilik lain tawarkan di pasaran mungkin lebih rendah.

Contohnya. Jika anda dapat nilai pasaran RM500,000 untuk rumah anda daripada penilai. Tetapi kalau pemilik lain jual pada harga RM400,000 sudah pasti rumah tuan puan susah nak terjual.

Anda boleh buat cara berikut:

  1. Semak medium iklan seperti Mudah.my dan Propertyguru. Lihat harga tertinggi dan terendah rumah berdekatan. Adakah harga anda kompetitif? Rumah yang harganya lebih rendah daripada rumah anda pastinya akan terjual terlebih dahulu. Melainkan ada sesuatu yang unik dengan rumah anda.
  1. Tanya ejen hartanah tentang harga transaksi dan permintaan berdekatan rumah anda. Ini penting. Walaupun harga iklan tinggi namun mungkin harga transaksi jauh lebih rendah. Nak lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang baik.

Untuk topik ni anda boleh rujuk artikel Cara Semak Harga Pasaran Rumah.

 

3) Ambil Kira Faktor Negatif

Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan harga rumah tu tak boleh dijual dengan harga tinggi. Anda kena ambil kira faktor ni semasa menetapkan harga.

  • Rumah berhampiran dengan loji kumbahan. Ikut pengalaman saya rumah begini memang susah nak dijual ikut harga semasa. Anda mungkin kena diskaunkan harga rumah tersebut untuk tarik minat pembeli.
  • Rumah berhampiran TNB substation atau power line. Ada kajian mengatakan terdapat risiko kesihatan tinggal berdekatan dengan TNB substation dan power line. Kajian ini tidaklah konklusif. Tapi pembeli yang cakna akan fikir dua kali sebelum buat belian.
  • Rumah yang ada kerosakan. Pastikan tuan puan baiki kerosakan rumah sebelum menjual. Kerosakan yang jelas kelihatan seperti crack dan bocor susah nak dapat harga yang ada permintaan.
  • Rumah pangsapuri paling atas. Rumah paling atas ada risiko kebocoran. Ramai pembeli sukar nak teruskan belian atas faktor ni.
  • Rumah pangsapuri tiada lif tingkat atas. Pembeli yang berkeluarga sangat menekankan faktor ni. Jika ada rumah tingkat bawah dengan harga berpatutan, mereka akan consider tu dulu.
  • Rumah di kawasan bermasalah. Jika rumah berada di kawasan bermasalah contohnya berdekatan dengan kawasan tanah runtuh atau kadar jenayah tinggi, harga memainkan peranan yang sangat penting. Jangan letak harga yang terlalu tinggi di kawasan begini.

 

4) Ambil Kira Margin Untuk Rundingan

Anda kena ambil kira margin untuk rundingan. Hartanah adalah high-value item yang pastinya akan ada rundingan harga. Jika anda ingin jual dengan harga 500k misalnya, tetapkan harga sekitar RM520k.

Panduan dan Cara Jual Rumah

Kos Menjual Rumah

Ada beberapa kos utama dalam penjualan hartanah:

 

  1. Cukai Hartanah (RPGT)

Cukai hartanah dikenakan untuk jualan dalam tempoh 5 tahun daripada tarikh belian. Kadar RPGT adalah seperti berikut:

  • Jualan pada tahun pertama hingga tahun ketiga: 30%
  • Jualan pada tahun keempat: 20%
  • Jualan pada tahun kelima: 15%
  • Jualan pada tahun keenam dan seterunya: tiada cukai.

Sebagai contoh. Jika anda beli rumah pada bulan Disember 2015 dengan harga RM150,000. Kemudian jual dengan harga RM250,000 pada bulan Jun 2016. Kadar RPGT ialah 30% kerana jualan pada tahun pertama.

Dalam kes ni, keutungan anda ialah RM100,000 (RM250k – RM150k). Secara kasar, cukai yang dikenakan ialah 30% daripada nilai ni.

Jumlah cukai yang dikenakan hampir RM30,000 (30% x RM100,000). Nota: Ini adalah kiraan kasar. Nak kira RPGT ada format dan boleh buat beberapa pengecualian.

Cukai RPGT ni memang tinggi. Tapi ada beberapa cara tuan puan boleh buat penjimatan.

Buat pengecualian sekali seumur hidup

Pengecualian ni hanya boleh dibuat sekali sahaja. Seeloknya dibuat untuk hartanah yang paling banyak keuntungan jika tuan puan memiliki lebih dari satu rumah.

Sedikit peringatan. Jika rumah yang dijual tu ada dua nama, kedua-dua pemilik mesti gunakan pengecualian jika nak dapatkan pengecualian penuh.

Jika salah seorang sahaja yang buat, pengecualian hanya dapat separuh. Misalnya, amaun RPGT ialah RM30,000. Rumah ada dua nama. Encik Ali dan isterinya Pn Aminah.

Jika En Ali je yang exercise pengecualian, amaun RPGT yang dikenakan ialah RM15,000. Jika dua-dua exercise, tiada RPGT dikenakan.

Setelah tandatangan perjanjian jual beli, anda perlu maklumkan kepada peguam untuk buat permohonan pengecualian.

Buat penolakan untuk kos-kos belian dan jualan hartanah.

Jika anda tak guna cara di atas, langkah nak jimatkan RPGT adalah dengan membuat penolakan kos belian dan jualan.

Ada beberapa kos transaksi belian seperti kos peguam dan stamping boleh ditolak sebelum di darab dengan kadar RPGT.

 

  1. Kos Guaman

Anda juga perlu melantik peguam. Lantikan ini ada kos untuk fi professional peguam. Bahagian yang relevan ialah ‘Legal Fee – Sale & Purchase Agreement/ Loan Agreement’.

Untuk penjimatan, pemilik boleh ‘tumpang’ peguam pembeli. Dalam kes tumpang ni anda perlu ingat, peguam tu tadi bukan peguam mewakili anda.

Jika ada masalah dalam transaksi atau kelewatan, mereka pastinya akan menyebelahi pembeli. Mereka juga tiada komitmen dengan anda kerana tiada lantikan. Nak suruh mereka buat kerja untuk pihak anda pastilah mereka tak layan.

Dalam kes tumpang ni, peguam tadi akan bantu anda untuk buat transfer di pejabat tanah dan uruskan pengeluaran geran daripada bank (discharge of charge). Kos kerja ni rendah berbanding dengan lantikan penuh. Dalam RM1,500 sahaja.

 

  1. Penalti ‘Lock-in Period’

Sesetengah bank mengenakan penalti menjual dalam tempoh ‘Lock-in Period’.

Biasanya lock-in period ni 3-5 tahun. Jika anda jual dalam tempoh 3-5 tahun dari tarikh pembelian, anda akan dikenakan penalti.

Kadar penalti ni pula tak tetap. Berbeza ikut polisi bank iaitu sekitar 3% daripada nilai rumah.

Misalnya baki pinjaman anda ialah RM100,000. Anda jual dalam tempoh lock-in. Penalti yang dikenakan ialah RM3,000.

Disarankan adan semak perjanjian pinjaman untuk kepastian tentang tempoh lock-in dan juga kadar penalti.

 

Nak Tahu Cara Jual Rumah Cepat? Impresi Pertama Sangat Penting.

Impresi pertama rumah tu penting. Pastikan rumah dalam keadaan kemas dan bebas kerosakan.

Pembeli yang datang menilai rumah dengan keadaan semasa. Apa yang dilihat macam tu la yang pembeli nampak. Kalau rumah tidak kemas dan ada kerosakan memang susah nak jual. Walaupun kos baik pulih kecil sahaja.

Disarankan pemilik mengecat rumah terlebih dahulu sebelum nak jual. Rumput di halaman rumah juga perlu dipotong.

Nampak remeh. Tapi benda remeh ini lah yang menentukan rumah terjual atau tidak.

 

Dokumen Yang Perlu Disediakan

Nak menjual rumah ni ada beberapa dokumen yang perlu disediakan:

  1. Kad pengenalan
  2. Salinan perjanjian jual beli semasa belian
  3. Salinan geran
  4. Penyata pinjaman terkini
  5. Bil cukai pintu dan cukai tanah
  6. Bil penyelenggaraan
  7. Bil utility

Dokumen 1 – 4 diperlukan peguam sebelum buat perjanjian jual beli. Bil cukai pintu dan cukai tanah, penyelenggaraan dan utiliti biasanya peguam akan minta selepas tandatangan perjanjian. Sebelum proses tukar nama di pejabat tanah.

 

Cara Nak Pasarkan Hartanah

Tuan puan kena pastikan yang iklan tuan puan ni visible.

 

1) Ambil gambar cantik-cantik

Orang kata ‘A Picture Worth A Thousand Word’. Kalau gambar yang anda ambil tu cantik dan harga rumah pula berpatutan, insyaAllah mudah dapat pembeli.

Nak ambil gambar rumah ni bukanlah perlu berseni sangat. Cuma ada teknik yang anda perlu aplikasikan:

  • Sebelum ambil gambar rumah, pasang semua lampu. Pencahayaan yang baik akan pastikan gambar tersebut lebih menarik dan lebih tajam.
  • Ambil gambar rumah bukan barang. Ramai pemilik iklankan rumah mereka tapi tak menggambarkan keadaan rumah. Oleh kerana rumah baru renovate, gambar kipas baru tu la yang diiklankan. Huhu.
  • Ambil gambar dari bucu rumah. Foto dari bucu rumah ni menggambarkan keseluruhan rumah. Saiz rumah juga lebih kelihatan.
  • Jangan lawan cahaya matahari. Kalau anda ambil gambar lawan cahaya matahari, gambar tu akan gelap.

 

2) Guna medium iklan popular

Untuk pasarkan hartanah dicadangkan guna medium yang popular. Ada beberapa medium yang anda boleh gunakan:

  • Mudah.my
  • Propwall
  • Surat khabar

iProperty dan Propertyguru tak disenaraikan walaupun dua medium ni sangat popular sebab ia terhad kepada ejen hartanah sahaja. Jika anda nak senaraikan di medium ni, anda perlu guna khidmat mereka.

Sertakan foto rumah terbaik semasa iklan. Pastikan juga butiran rumah lengkap dan tepat. Butiran rumah ni seeloknya anda sahkan balik dengan perjanjian jual beli. Kalau tersalah iklan butiran tak tepat nanti boleh timbul pelbagai isu dengan pembeli.

Butiran rumah minimum yang mesti ada ialah:

  • Lokasi rumah
  • Keluasan
  • Bilangan bilik dan bilik mandi
  • Status pegangan rumah (Freehold, leasehold dll.)
  • Lot bumi atau bukan lot bumi
  • Kawasan persekitaran rumah
  • Fasiliti berdekatan rumah
  • Akses jalan

 

3) Pastikan iklan berterusan

Iklan ni tak boleh tinggal. Anda kena buat berterusan. Ini kerana dalam medium pengiklanan, iklan anda mungkin dah masuk halaman ke 5 selepas seminggu.

Iklan anda kena perbaharui supaya ianya sentiasa ‘visible’. Mungkin leceh nak buat ni. Tapi percayalah, frekuensi iklan tu adalah salah satu faktor penting nak jual rumah dengan cepat.

 

4) Perlukah letak banner?

Banner rumah untuk dijual ni adalah satu langkah yang efektif. Prospek pembeli yang anda terima daripada banner ni adalah lebih serius membeli.

Mereka dah tahu dan pernah lawati kawasan rumah. Nak buat banner ni pun murah je. Mungkin kos dalam RM20.

Perlu atau tidak letak banner di rumah ni bergantung kepada anda. Adakah anda comfortable?

Selain itu, isu privasi juga anda perlu fikir. Kalau rumah tu ada penyewa, tak disarankan letak banner. Rumah kosong tiada masalah.

Sejak akhir-akhir ni banyak terjadi kes samun. Pemilik letak banner di hadapan rumah dan penjenayah menyamar sebagai pembeli untuk masuk ke rumah. Oleh itu, hati-hati.

 

Cara Berurusan Dengan Pembeli

Mengurus pembeli ni sangat memenatkan kalau tak kena cara. Nak lagi kalau anda pertama kali menjual hartanah. Inia da beberapa tips.

 

1) Buat saringan awal

Semasa pembeli hubungi anda untuk lihat rumah rumah, ada beberapa soalan yang anda boleh tanyakan untuk tahu sejauh mana pembeli serius nak beli rumah.

  • Kerja di mana? Jika berjauhan daripada rumah yang nak dijual, mungkin akan jadi faktor penghalang.
  • Tahu kawasan rumah yang nak dijual? Pembeli yang baik biasanya sudah tahu kawasan rumah yang nak dibeli.
  • Dah pernah semak kelayakan pinjaman? Pembeli yang bijak akan semak kelayakan terlebih dahulu. Jika anda jual melalui ejen hartanah, mereka biasanya akan minta butiran gaji dan komitmen. Ini sedikit sukar kalau menjual sendiri. Pembeli mungkin keberatan nak beri butiran kepada pemilik. Oleh itu, soalan kelayakan pinjaman ni adalah penting untuk anda buat saringan yang paling minimum.
  • Siapa yang akan datang lihat rumah? Pembeli yang sudah berkeluarga seeloknya datang dengan pasangan. Sukar nak buat keputusan belian kalau isteri atau suami tak tengok rumah.
  • Sudah berapa kali view rumah? Jika pembeli view rumah untuk pertama kali, kemungkinan besar mereka tidak boleh buat keputusan yang cepat untuk buat belian.
  • Cukup tunai untuk deposit dan kos guaman? Soalan ni amat sensitif. Anda jangan tanya secara direct pula. Guna soalan open-ended.

 

2) Pada hari viewing

Pada hari viewing, pastikan rumah dalam keadaan kemas dan rapi. Buka penghawa dingin, lampu dan kipas sebelum pembeli sampai ke rumah. Pastikan juga tiada sampah dan bau yang tidak menyenangkan dalam rumah.

Layan pembeli dengan baik. Pada masa yang sama cuba faham apa keperluan mereka. Pembeli ni ada keperluan mereka sendiri.

  • Ada yang layak beli tapi tak cukup wang deposit
  • Ada yang nak guna pinjaman kerajaan
  • Ada yang nak masuk rumah cepat kerana terpaksa pindah dari rumah sewa
  • Ada yang nak buat pelaburan. Dalam kes ni tuan puan kena yakinkan mereka kenapa rumah tuan puan pelaburan yang baik.

Mereka mungkin tengok rumah lain selain rumah anda. Tapi oleh kerana anda sahaja yang dapat penuhi keperluan mereka, insyaAllah mereka akan kembali kepada anda. Keperluan mereka ni juga boleh menjadi point penting untuk rundingan harga.

 

Prosedur Jual Rumah

Setelah pembeli minat dengan rumah, mereka hendaklah buat bayaran wang tanda jadi. Seeloknya kepada peguam yang pembeli dan anda persetujui. Peguam ini kemudian akan keluarkan surat tawaran kepada anda.

Baca dan teliti surat tawaran ni. Beberapa point penting yang anda kena pastikan ialah:

  • Bagaimana wang deposit 10% dibayar. Biasanya pembeli akan bayar 3% daripada nilai rumah sebagai wang tanda jadi kepada peguam. Keseluruhan deposit 10% anda akan terima semasa tandatangan perjanjian jual beli.
  • Tempoh masa untuk pembeli tandatangan perjanjian jual beli. Seeloknya anda tetapkan terus berapa hari pembeli diberi masa untuk lulus pinjaman dan kemudian tandatangan perjanjian jual beli. Kalau anda tak spesifik, kemungkinan nanti akan ambil masa yang panjang.
  • Apa akan jadi dengan wang tanda jadi kalau berlaku pembatalan? Ini juga penting. Anda tak mahu pembeli bayar wang tanda jadi dan kemudian batalkan tanpa sebab munasabah. Jika berlaku pembatalan, wang tanda jadi biasanya hangus.
  • Tempoh masa untuk pembeli jelaskan 90% baki harga jualan. Ini pun penting. Biasanya pemilik akan berikan tempoh masa 3 bulan untuk pembeli selesaikan urusan jual beli. 3 bulan ini bermula daripada tarikh perjanjian jual beli jika rumah tiada sekatan. Atau 3 bulan bermula daripada tarikh kebenaran diperoleh untuk hartanah yang perlukan kebenaran daripada pihak yang berkenaan seperti pemaju atau pihak berkuasa negeri.

 

Berapa Lama Proses?

Setelah tandatangan perjanjian jual beli, tempoh untuk anda terima keuntungan jualan tu bergantung kepada jenis pegangan rumah.

Jualan rumah ni unik. Ada yang cepat, ada yang lambat bergantung kepada complexity sesuatu kes.

Jika rumah tiada masalah, secara amnya:

  • Rumah yang tiada sekatan seperti rumah berstatus freehold, tempoh selesai jualan dalam 4 bulan.
  • Rumah yang ada sekatan seperti rumah berstatus leasehold atau rizab melayu, tempoh jualan selesai dalam 6 ke 8 bulan.
  • Untuk rumah yang masih berstatus geran induk, dalam 4 ke 6 bulan.

 

Perangkap Jualan Hartanah Yang Pemilik Kena Tahu

Ni antara perangkap jualan hartanah yang anda kena tahu.

 

1) Kos tersembunyi bila pembeli markup pinjaman

Mungkin ada pembeli yang berminat nak beli. Tapi mereka nak mark-up pinjaman untuk dapat balik kos deposit yang mereka bayar kepada pemilik.

Bila pembeli markup pinjaman, harga jualan dalam perjanjian jual beli akan ikut harga mark-up. Peguam kemudian akan keluarkan satu surat atau appendix bagi harga jualan sebenar.

Dalam kes ni anda kena hati-hati tentang dua perkara:

  1. Kos guaman
  2. Kos cukai hartanah

Jika anda melantik peguam untuk mewakili anda, kiraan fi peguam ni akan menggunakan harga mark-up, bukan harga belian. Sudah pastinya fi peguam tersebut akan lebih tinggi.

Begitu juga dengan kos cukai hartanah. Pun akan ikut harga mark-up. Jika anda cukup kriteria untuk dikenakan cukai hartanah, harga jualan sudah pastinya lebih tinggi daripada harga sebenar. Kos cukai akan lebih tinggi.

Dalam kes begini pastikan anda letak syarat kepada pembeli. Segala kenaikan kos yang dikenakan ke atas penjual, hendaklah dibayar oleh pembeli.

 

2) Kos tersembunyi dan jangkamasa untuk pemilikan rumah yang belum disempurnakan

Ada kes dimana geran rumah telah keluar tetapi masih belum pemilik tukar ke atas nama mereka. Proses ini penukaran geran induk kepada nama pemilik ni dipanggil sebagai ‘perfection’.

Kebanyakan pemaju terutamanya untuk projek berstatus leasehold tidak membenarkan pindah milik kepada pembeli secara terus. Pemilik mesti tukar nama daripada nama pemaju kepada nama pemilik terlebih dahulu.

Dalam kes begini, jangkamasa untuk selesai proses jualan akan lebih lama. Proses untuk tukar nama pemaju kepada pemilik tu mungkin dalam 3 ke 6 bulan. Keseluruhan jangka masa sehingga jualan selesai mungkin makan masa hampir setahun.

Bukan tu sahaja. Ada kos yang pemilik kena tanggung. Kos Memorandum of Transfer ini agak tinggi.

Disarankan sebelum buat keputusan untuk jual, tanya pemaju terlebih dahulu. Geran rumah masih master title atau dah boleh tukar kepada nama anda?

 

3) Anda tidak terima semua wang deposit

Bila pembeli dan pemilik tandatangan perjanjian jual beli, anda sepatutnya terima wang deposit 10% tu kan? Salah.

Pertamanya peguam akan tolak fi professional mereka terlebih dahulu.

Kedua, peguam akan pegang 3% daripada nilai rumah untuk tujuan bayaran Cukai Hartanah. Aturan ni dibuat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Anda dengan bantuan peguam kemudian akan hantar perkiraan RPGT kepada mereka. Setelah LHDN berpuas hati dengan kiraan, mereka akan advice untuk bayaran balik (atau bayaran tambahan jika amaun 3% tadi tak cukup).

Tempoh untuk LHDN respon ini mungkin makan masa 3-6 bulan.

Oleh itu, semasa terima wang deposit tu jangan expect dan buat perancangan untuk dapat 10%.

 

4) Masalah title rumah

Jika rumah ada sekatan dalam bentuk kaveat, selesaikan terlebih dahulu. Rumah juga tak dapat dijual kalau pemilik bankrap.

 

5) Perceraian

Perceraian juga boleh membantutkan jualan rumah. Jika terjadi kes penceraian dan rumah ada dua nama, seeloknya berbincang dengan cara baik.

Kedua pemilik mestilah bersetuju menjual dan nisbah keuntungan diurus dengan adil. Ini bagi memastikan kedua pihak hadir untuk tandatangan perjanjian jual beli.

Jika kesemua proses dah dibuat. Tapi salah satu pihak tidak bersetuju untuk tandatangan perjanjian jual beli. Akhirnya akan menyebabkan jualan terbatal.

 

6) Rumah ada sekatan, jual kepada non-bumi

Rumah dengan status pegangan di bawah jangan jual kepada non-bumi:

  • Bumi Lot
  • Rizab Melayu
  • Leasehold

Rumah berstatus bumi lot dan rizab melayu ni agak clear. Jangan lah jual kepada non-bumi. Memang cari masalah kalau teruskan. Huhu.

Yang selalu jadi perangkap ialah rumah berstatus leasehold. Ramai pemilik beranggapan mereka beli rumah leasehold dengan status non-bumi. Kemudian jual kepada non-bumi. Tapi akhirnya terperangkap.

Rumah berstatus leasehold ni kalau ada geran individu perlu dapat consent daripada kerajaan negeri. Kerajaan negeri pula ada polisi dan kuota untuk kekalkan pemilikan bumiputera dalam hartanah. Jadi besar kemungkinan permohonan untuk tukar nama tu akan ditolak.

 

Patutkah Saya Guna Khidmat Ejen Hartanah?

Anda sendiri lihat artikel ni memang panjang. Tetapi ada banyak lagi aspek jualan rumah yang tak mampu nak tulis. Panduan ini hanyalah general overview.

Untuk makluman jualan rumah ni bukan mudah. Perlukan kepakaran, pengetahuan dan masa. Jika anda tidak cukup salah satu bahan ni proses jualan akan jadi sangat stressful dan mungkin menyebabkan kerugian besar jika terkena perangkap.

Ejen hartanah akan bantu anda untuk buat semua kerja jualan ni. Mereka juga akan jadi penasihat yang baik supaya anda tidak kerugian.

Guna khidmat ejen hartanah atau tidak pengakhirannya terpulang kepada anda untuk menilai.

Kesimpulan

Abam Nas harap artikel panduan dan cara jual rumah ini dapat memberi bantuan kepada anda yang berhasrat nak jual rumah.

Jika anda ada pertanyaan atau pendapat, bolehlah ajukan kepada Abam Nas di ruangan komen ye. Terima kasih.

 

Nas Rubaee
0163621515

2 thoughts on “Panduan dan Cara Jual Rumah

Leave a Comment

CommentLuv badge